Pages

Monday, January 15, 2018

surat manja2 gua

Sepanjang malam saya membayang wajah-wajah yang dirindui. Namun, fikiran tertumpu pada satu wajah yang betul-betul memberi kesan pada hati yang lembut ini. Surat ini aku khaskan buat si bidadari yang aku rindu walaupun sudah hampir 32......................................... jam kita tidak bertemu.

Bidadari,

ketika surat maya ini saya taip, saudari sudah pun melelapkan mata setelah penat melayani empangan mata yang pecah sebentar tadi. Saya pula masih dalam dilema ingin melelapkan mata ataupun tidak. Jam menunjukkan hampir pukul 3 pagi dan mata saya masih memerhati sekeliling ruang tamu, risau juga jika ada bunyi pelik ataupun kehadiran mana-mana lembaga. Jika ada mereka memang menempah maut. Saya bukanlah seorang lelaki yang sukar ditewaskan. Pernah satu ketika saya  memotong bawang dan bawang itu yang menangis. 

Saudari, surat ini telah saya tulis hingga ke perenggan kedua. Saya akan membawa saudari ke satu dimensi yang lebih serius. Saudari, tidak perlu saya  tatap gambar saudari 24 jam kerana wajah saudari itu sudah tersedia di buah fikiran. Jikalau sukar untuk bertemu untuk melepas seribu rindu, tidak apalah kerana diri saudari itu boleh saya temui di hati.

Semoga saudari menjadikan setiap punca pecahnya empangan airmata saudari itu sebagai satu pengajaran dan pengalaman untuk bangkit. Airmata bukanlah tanda kelemahan, tetapi tanda saudari sedang mengumpul kekuatan untuk menahan kesakitan. Menangislah, saya bukanlah Shah Jehan yang mampu membina Taj Mahal buat isterinya tetapi saya janjikan kesakitan saudari disebabkan masa lalu akan saya bayar dengan kebahagiaan cinta, kasih sayang dan pengorbanan yang melimpah. Semoga saudari diberi kekuatan untuk terus melangkah.

Saya mengenali saudari sebagai seorang yang memiliki impian yang cukup besar. Harapan saya, semua impian saudari menjadi kenyataan dan suka saya nyatakan saya ingin menjadi salah satu impian saudari. Saya sedar impian bukan lah sesuatu yang boleh kita ramalkan kejayaannya sepertimana kita meramal turunnya hujan. Teruskanlah berusaha dan berdoa. 

Akhir kata dari saya buat bidadari, mengecewakan dan dikecewakan itu pilihan, dicintai dan mencintai juga pilihan, malah menyakiti dan disakiti juga pilihan. Yang membezakan hanya kesan pada hati. Terima kasih untuk kebahagiaan sayang. Tiada aksara ataupun nombor mampu menceritakan rasa sayang terhadap saudari kerana semuanya tersimpan hati.

Selamat malam,

Tidur lena bunga ku,
  
16/1/2018



Monday, September 18, 2017

Budak rumah bab 4

Malam ini sama sahaja seperti malam-malam yang lain. Azam dan Sufi telah lena dibuai mimpi manakala Zaidi masih lagi sukar untuk melelapkan matanya. Sudah hampir dua jam dia memejamkan mata, sudah berbagai posisi dicuba namun tiada langsung tanda-tanda dia akan mengecap nikmat tidur seperti rakan-rakannya.

Setiap malam ada sahaja sesuatu yang mengganggu fikirannya. Pernah satu malam dia terfikir bagaimana sebuah kapal yang besar dan berat boleh terapung di atas permukaan air.  Hampir seminggu perkara tersebut bermain difikirannya. Akhirnya dia nekad untuk mencari jawapannya sendiri keesokan harinya namun teori Archimedes bukanlah teori yang mudah untuk difahami dan akhirnya Zaidi mematikan persoalan itu dia fikirannya dengan tanda soal.

Kali ini lain pula yang bermain di fikirannya. Entah kenapa dia terfikir bagaimana kehidupan keluarganya di kampung. Mereka sudah makan atau belum? lena atau tidak tidur mereka? sihat atau tidak kedua orang tuanya? Perkara itu lah yang membuat fikirannya kacau sehingga dia sukar melelapkan mata.

Sebagai anak sulung Zaidi patut risau dan bertanggungjawab terhadap keluarganya apatah lagi selepas ayahnya lumpuh akibat kemalangan motorsikal. Kalau diikutkan kemahuannya, mahu saja dia pulang ke kampung dan bekerja bagi menanggung makan minum keluarga serta persekolahan adik-adiknya. Namun dia tewas dengan permintaan ibunya supaya melanjutkan pelajaran dan kos pelajarannya akan ditaja oleh badan-badan kebajikan. Motorsikal miliknya itu juga ada pemberian ketua kampung ketika dia mahu berangkat ke Kuala Lumpur dahulu.

Walaupun dilahirkan dalam keluarga yang serba daif, dia bersyukur kerana Allah telah hadirkan orang-orang yang prihatin terhadap kedaifan keluarganya. Sufi misalnya. Tanpa bantuan sufi sudah pasti kehidupan Zaidi sebagai seorang pelajar di Kuala Lumpur akan bermasalah.

Sudah hampir sejam Zaidi mengenangkan keluarganya di kampung dan masih tiada tanda-tanda untuk dia melelapkan mata dan mengecap nikmat tidur seperti rakan-rakannya.

Azam kelihatan masih lena dengan dengkuran yang cukup memekakkan telinga. Mujur saja kesabaran Zaidi masih tinggi. Jika tidak sudah pasti di tekapnya muka Azam dengan bantal.  Ini kali pertama Azam tidur di dalam bilik yang berhawa dingin dan tidak seperti selalu, air liur nya langsung tidak menunjukkan tanda-tanda untuk keluar.

"mungkin air liurnya sudah beku disebabkan suhu bilik yang sejuk" sangka Zaidi sambil tersenyum.

Di sebelah Azam, Sufi kelihatan lena seperti seorang lelaki yang langsung tiada masalah. Zaidi memandang muka Sufi berbekalkan cahaya samar- samar. Sejenak dia terfikir, kalau tiada sufi siapalah yang akan membantu kehidupan dia dan Azam dia Kuala Lumpur ini.

Dia masih ingat lagi ketika semester satu. Ketika itu semua pelajar semester satu wajib menetap di asrama yg disediakan pihak kolej. Semasa di asrama hanya Zaidi dan Azam sahaja yang berkawan rapat itu pun disebabkan Azam cuba memotong barisan ketika pendaftaran pelajar baharu di kolej. Ketika itu tercetus sedikit pergaduhan antara Zaidi dan Azam dan akhirnya membawa kepada hubungan persahabatan. Mereka berdualah yang bertanggungjawab membocorkan tayar kereta ketua fasilitator disebabkan perangai jelek yang ditunjukkan ketua fasilitator tersebut sewaktu orientasi pelajar baru.

Manakala Sufi ketika di semester 1 merupakan seorang yang sombong. Mungkin kerana hanya dia seorang sahaja yang memandu kereta ke kolej manakala pelajar lain menaiki motorsikal dan menaiki pengangkutan awam. Pernah satu ketika Sufi cuba merasuah seorang pengawal keselamatan kolej kerana pengawal tersebut mengunci tayar keretanya disebabkan kesalahan meletakkan kenderaan di parkir canselor kolej. Namun, rasuah RM10 yang diberikan Sufi di tolak mentah-mentah oleh pengawal keselamatan tersebut. Bila difikirkan jumlah wang yang ditawarkan oleh Sufi, amatlah tidak masuk akal. Padan lah tawaran rasuahnya ditolak.

Manusia tidak kekal pada sikapnya buruknya. Itulah yang terjadi pada Sufi. Segalanya bermula ketika dia menyertai program kasih anak muda anjuran pihak kolej. Program yang memberi fokus utama untuk membantu golongan gelandangan cukup memberi impak positif pada hati Sufi. Hati siapa yang tidak menangis apabila melihat seorang ibu tunggal bersama anaknya yang masih kecil tidur di kaki lima jalan, mengais sampah untuk mencari sisa-sisa makanan yang masih boleh dijadikan alas perut. Sejak dari itu lah Sufi mula mensyukuri nikmat yang Allah SWT berikan dan dia juga menyedari rezeki yang diberikan patut dikongsikan bersama.

Zaidi dan Azam mula berkenalan dengan Sufi ketika mereka berdua mengambil bantuan yang disalurkan oleh Sufi dan bapanya kepada pelajar-pelajar yang berasal dari keluarga yang kurang berkemampun. Sejak itu, hubungan persahabatan mereka kian erat seperti adik beradik. Menasihati satu sama lain merupakan satu kewajipan bagi mereka bertiga dan Zaidi dan Azam amatlah berharap Sufi dapat meninggalkan tabiat buruknya iaitu berhibur di kelab malam.

Jam menunjukkan pukul 5.30 pagi. Setelah mengimbau kembali kehidupan diri dan rakan-rakannya, Zaidi mula rasa mengantuk dan seperti biasa waktu-waktu sebegini lah iblis akan memainkan peranan supaya dia tidur dan tidak menunaikan solat subuh. Acap kali jugak dia terkesan dengan hasutan iblis namun apabila difikirkan balasan orang yang meninggalkan solat subuh iatu diseksa di dalam neraka selama 60000tahun dunia, dia bingkas mengejutkan rakan-rakanya untuk solat subuh bersama-sama. Seperti biasa Zaidi lah yang akan membaca iqamat serta menjadi imam kerana pengetahuannya dalam bidang keagamaan cukup tinggi.

Bukan tidak percaya kepada dua rakannya untuk membaca iqamat dan menjadi imam, cukuplah dahulu Sufi pernah melaungkan takbir raya ketika hendak membaca iqamat manakala Azam pernah tertidur sewaktu sujud ketika menjadi imam. Peristiwa tersebut cukup memberi pengajaran buat Zaidi.

Thursday, March 9, 2017

Budak rumah bab 3

"Bammmmmmmmmm" pintu almari dihempas oleh Zaidi setelah dia selesai mengemas pakaiannya untuk dibawa ke rumah Sufi. Zaidi bersyukur kerana Sufi bersetuju untuk membawa dia dan Azam pulang ke rumah orang tua Sufi dan Zaidi paling bersyukur kerana minggu ini Sufi membatalkan niat untuk ke kelab malam dan doanya untuk tidak bertemu dengan pondan yang berbuah dada besar di kelab malam tersebut dimakbulkan

"vrooooommmmmmmmmmmmmmmm" Bunyi kereta Sufi memaksa Zaidi untuk keluar dari rumah. Rakan-rakannya telah lama menunggu di dalam kereta. Pintu rumah dikunci dan Zaidi terus memasuki kereta dan duduk di sebelah tempat duduk memandu. Sufi terus memandu menuju ke rumahnya yang terletak di Bukit Antarabangsa. Kelihatan Azam di tempat duduk belakang dengan wajah yang agak tidak sabar untuk ke rumah Sufi.

"Wahhh excited betul kau Azam?" Tanya Zaidi setelah melihat wajah Azam.

"Mestilah. Aku tak sabar nak tengok banglo milik keluarga sufi. Bukan tengok je, tapi bermalam kat situ." Balas Azam.

Sebenarnya ini kali pertama mereka berdua akan ke rumah Sufi. Sebelum ini ada juga Sufi mengajak mereka berdua untuk bermalam di rumahnya. Namun pelawaan tersebut ditolak atas alasan segan kerana mereka rasa tidak setaraf dengan keluarga Sufi. Orang tua Sufi merupakan ahli korporat yang berpangkat dato' dan datin manakala orang tua mereka hanya melakukan kerja-kerja kampung sahaja. "Kais pagi makan pagi, Kais petang makan petang" itu lah bidalan yang sesuai untuk menerangkan tentang kehidupan keluarga Zaidi dan Azam.

Namun mereka bersyukur kerana dianugerahkan sahabat seperti Sufi yang memahami keadaan keluarga mereka. Kadang-kadang ada rakan-rakan di kolej terutama Damia yang sering menghina latar belakang keluarga mereka dan ketika itulah Sufi datang membalas hinaan yang dilemparkan terhadap rakan-rakannya. Damia seorang anak ahli politik terkemuka di Malaysia namun sikapnya yang sombong membuatkan Sufi, Zaidi serta Azam tidak menyukainya.

Setengah jam selepas bertolak dari rumah sewa, mereka bertiga masih berada di dalam kereta. Perjalanan yang sepatutnya memakan masa lima belas minit kini berlarutan selama setengah jam disebabkan kesesakan lalu lintas.

"Sufi hang beli kereta ni hang bayaq tiap bulan ke hang bayaq sekali teruih" Azam memecah keheningan di dalam kereta dengan bertanyakan soalan kepada Sufi.

Bunyi radio yang sedang mendendangkan lagu Rozana dari kumpulan Search diperlahankan oleh Zaidi bagi memberi ruang Sufi menjawab pertanyaan Azam.

"Kereta ni ayah aku yang bayarkan. Dia beli cash sebab dia memang tak suka berhutang. Ayah aku ahli korporat. Ada masa perniagaan tidak menguntungkan dan boleh membawa kepada muflis. Jadi jika perniagaan tak menguntungkan, ayah aku tak perlu bimbang untuk bayar kereta aku secara ansuran. Sebab tu dia beli cash" Jawab Sufi.

"Banyak juga kan duit ayah kau?" Tambah Zaidi.

"Alhamdulillah setakat ni aku cukup bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan pada keluarga aku. Kekayaan aku dan keluarga bukan untuk kami sahaja, kami nak kongsi kekayaan ini dengan orang-orang yang tidak bernasib baik. Dalam rezeki kita ada rezeki orang lain" balas Sufi sambil tersenyum.

                                                               
                                                                   *  *  *  *  *  *  *

Di sebuah rumah banglo di Bukit Antarabangsa, Dato' Idris dan isterinya Datin Salwa sedang sibuk menyiapkan juadah makan malam untuk menyambut kepulangan satu-satunya anak mereka iaitu Sufi serta rakan serumahnya. Pelbagai jenis lauk dimasak oleh Datin Salwa sendiri. Sejak kematian pembantu rumah mereka akibat kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa beberapa tahun dahulu, mereka tidak lagi mengupah pembantu rumah dan segala kerja rumah dilakukan oleh Datin Salwa sendiri.

"Vrrroooooooooooommmmmm." Bunyi deruman enjin kereta Sufi mula memasuki perkarangan rumah banglo milik Dato' Idris. Sufi meletakkan keretanya betul-betul di belakang kereta Mercedes milik bapanya dan terus menjemput kawan-kawannya untuk masuk ke rumah.

"Makkkkk aihhhhh besaq gila rumah hang Sufi. Berapa orang yang duk  dalam rumah ni?" Tanya Azam dengan raut wajah yang teruja.

" Besar-besar pun tak guna zam. Kami tinggal bertiga je dalam rumah ni. Kadang-kadang aku seram jugak dengan rumah sendiri hahaha" Jawab Sufi sambil ketawa.

Zaidi yang hanya mendiamkan diri mengikut langkah Sufi serta Azam menuju ke pintu masuk rumah. Kelihatan orang tua Sufi sudah menunggu di muka pintu bagi menyambut mereka bertiga.

"Assalamualaikum mak, ayah." Sapa Sufi.

"Kenalkan kawan serumah Sufi. Yang tinggi dan kacak ni namanya Zaidi dan yang montel tapi comel ni pula Azam." Tambah Sufi.

"waalaikummussalam, marilah masuk. Makcik dah masak macam-macam untuk kalian." Balas datin Salwa.

"Sufi, bawa kawan-kawan kamu masuk. Ayah tahu diorang mesti lapar ni lagi-lagi yang montel ni." Kata Dato' Idris sambil ketawa.

Sufi menjemput Zaidi dan Azam untuk masuk. Zaidi dan Azam yang dari tadi hanya mendiamkan diri kerana malu hanya mengikut sahaja Sufi menuju ke meja makan. Setibanya mereka tiba di meja makan, mereka mengambil tempat masing-masing sambil memerhatikan lauk yang dimasak oleh Datin Salwa. Sufi sememangnya rindu dengan masakan ibunya sendiri. Namun dia beruntung kerana dia boleh pulang ke rumah pada tiap-tiap minggu. Tidak pula bagi Zaidi dan Azam, Zaidi yang berjauhan dari keluarganya hanya boleh pulang ke kampung apabila cuti semester manakala Azam merupakan anak yatim piatu. Kedua ibu bapanya telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya semasa Azam berumur dua tahun. Hanya Azam yang terselamat ketika kemalangan itu berlaku. Azam kini tinggal bersama neneknya yang sudah uzur.